PUTRAJAYA: Bertemakan ‘Amanah, Tegas dan Adil’, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut ulang tahunnya yang ke-55 tahun ini dengan pelbagai kejayaan membongkar banyak kes jenayah kolar putih dan berprofil tingggi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki (gambar) berkata tema itu juga selari dengan keberkesanan kaedah siasatan agensi itu sehingga berjaya membongkar kes berprofil tinggi melibatkan individu berjawatan atau berkedudukan tinggi.

Menurut Azam, daripada 292 kes yang selesai dibicarakan bagi 2021 termasuk yang berprofil tinggi itu, sebanyak 91.1 peratus atau 266 kes salah laku rasuah berakhir dengan sabitan.

“Ini merupakan kejayaan kerana melebihi kadar sabitan kesalahan rasuah sebanyak 90 peratus yang ditetapkan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 - 2023. Daripada segi pemulihan aset pula tahun lepas, jumlah aset yang dilucutkan hak dan dipulangkan kepada kerajaan Malaysia adalah sebanyak RM5.1 bilion, iaitu 99.57 peratus daripada kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Siasatan terhadap kes-kes berkenaan boleh dikatakan sebagai sangat mencabar kerana banyak kekangan yang kami hadapi dari pelbagai aspek ketika menjalankan siasatan.

“Namun dengan kejayaan bermula daripada siasatan sehingga peringkat pendakwaan, ia membuktikan kemampuan dan kebolehan SPRM dalam mengendalikan kes berprofil tinggi dan kompleks yang bukan sahaja diiktiraf di negara ini malah di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita baru-baru ini sempena Hari Ulang Tahun SPRM ke-55 yang disambut hari ini.

Azam menjelaskan hasil garapan modul operasi, risikan dan siasatan sejak 2012 selain siasatan kes 1MDB dan SRC International, skandal rasuah Op Water juga antara pencapaian hebat bagi SPRM dengan penyitaan paling besar melibatkan wang tunai, kenderaan mewah dan barang kemas bernilai jutaan ringgit.

“Tidak lupa juga syarikat penyewaan kapal, Pristine Offshore Sdn Bhd yang merupakan syarikat pertama dituduh mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan oleh organisasi komersial semenjak seksyen itu berkuat kuasa pada 1 Jun 2020,” katanya dan menambah kes itu menjadi pengajaran kepada sektor korporat lain.

Selain itu, Azam berkata kolaborasi antara akademi latihan SPRM iaitu Akademi Pencegahan Rasuah (MACA) yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sejak November 2020 dengan Notthingham Trent University, United Kingdom dalam melahirkan kakitangan terlatih juga telah membuahkan hasil.

Katanya, pada konvokesyen pertama 8 September lepas, seramai 266 graduan MACA diberi penghormatan menerima skrol dan sijil pengajian masing-masing daripada Pro Vice-Chancellor (International), Nottingham Trent University Profesor Cillian Ryan.

“Pihak Pengurusan Tertinggi SPRM telah berkolaborasi dengan Nottingham Trent University pada 2017 iaitu setelah mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan untuk membangunkan modul kursus asas pegawai SPRM bertaraf profesional meliputi modul siasatan, modul perisikan dan modul pendakwaan dan perundangan, modul amalan profesional dan modul kepimpinan.

“Kelebihan yang diperoleh ini sangat penting dan amat bermakna kepada SPRM terutamanya MACA dalam membangun dan merangka pelan tindakan latihan yang lebih efisien dan berkualiti tinggi setaraf institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Mengenai pembaharuan dalam SPRM selepas beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya, Azam berkata sebelum 2020, agensi yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) itu banyak menunggu maklumat atau aduan sebelum menjalankan siasatan.

“Selepas 2000, kita menggunakan kaedah perisikan dan undercover untuk membongkar kes rasuah secara bergerombolan. Ia dikembangkan lagi sekarang apabila kita menggunakan Intelligence Based Investigations (IBI).

“Kaedah ini proaktif, ia digunakan untuk kes berprofil tinggi...Analisis Mendalam atau Deep Analysis dilaksanakan kepada subjek-subjek sebelum penyiasatan yang sewajarnya. Dengan Analisis Mendalam, identifikasi pelaku rasuah berprofil tinggi dikenal pasti dan kedua ialah pemulihan aset,” katanya.

Beliau berkata dengan kaedah ini, IBI dapat membongkar jenayah rasuah yang besar melalui Op Water, Op Power, Op Hack melibatkan kes berprofil tinggi.

Melalui IBI juga SPRM berjaya membongkar penyelewengan dana SRC International sebanyak RM42 juta dan dana projek infrastruktur mencecah RM3.3 bilion di bawah Op Water serta sindiket Bitcoin mencuri bekalan elektrik menyebabkan kerugian sehingga RM2.3 bilion bagi tempoh 2018 hingga 2021 menerusi Op Power.

Azam berkata setiap operasi yang dijalankan mendatangkan impak cukup besar, bukan setakat memberi kesan terhadap masyarakat, malah terhadap agensi yang terlibat iaitu pencegahan seiring dengan penguatkuasaan.

“Bagi memastikan isu berkenaan dapat diatasi secara menyeluruh, selepas penguatkuasaan dari segi siasatan dan tangkapan, SPRM juga mengambil langkah proaktif dengan memberi khidmat nasihat serta cadangan untuk menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah kepada agensi terbabit untuk tujuan penambahbaikan isu tadbir urus,” katanya.

Dalam pada itu, Azam turut berkongsi statistik tangkapan dan pendakwaan bagi Jan 2020 hingga Ogos 2022 melibatkan seramai 2,553 individu ditahan manakala sebanyak 1,313 pertuduhan pula telah dilaksanakan melibatkan kes-kes rasuah.

“Jumlah ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa SPRM begitu aktif melaksanakan operasi bagi memerangi rasuah di negara ini,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image