Vaksinasi Covis-19 untuk pelaut, pekerja sektor pelabuhan bermula Jumaat ini

SHAH ALAM: Program vaksinasi Covid-19 khas untuk pelaut warga Malaysia dan pekerja sektor pelabuhan khususnya di sekitar Lembah Klang, akan bermula lusa pada Jumaat.

Menurut kenyataan Jabatan Laut Malaysia (JLM), program tersebut merupakan inisiatif bersama dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) sebagai simbolik penghargaan kepada khidmat bakti pelaut bersempena sambutan Hari Pelaut Sedunia 2021.

Jabatan itu berkata sasaran program adalah para pelaut aktif yang berada di sekitar Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

Katanya program yang dijadualkan berlangsung selama enam minggu di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Serba guna Kelab Sosial dan Rekreasi LPK (PPV Sektor Maritim Klang), Pelabuhan Klang itu adalah tertakluk kepada kuantiti vaksin dan kapasiti tenaga kerja yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

“Setakat ini, JLM telah menerima senarai butiran pelaut daripada syarikat-syarikat perkapalan tempatan melalui Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) khusus bagi program ini. Pelaut yang telah mendapat pengesahan serta janji temu adalah amat disarankan untuk hadir dan mematuhi SOP di PPV,“ kata JLM.

“JLM dengan kolaborasi MOT dan JKJAV akan merangka pelaksanaan program-program khas vaksinasi pelaut susulan daripada program ini,“ katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image