KUALA LUMPUR: Pihak industri perlu mewujudkan penilaian risiko yang betul di tempat kerja di samping sistem kerja selaras dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA) memandangkan bilangan kemalangan di tempat kerja dan industri dilihat membimbangkan.

Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar (gambar) berkata penilaian itu penting untuk mencegah kemalangan di tempat kerja, mengurangkan kecederaan dan menyelamatkan banyak nyawa.

“Penilaian risiko menyumbang kepada membangunkan pemahaman yang diperlukan tentang bahaya khusus, potensi ancaman dan langkah mudah untuk mengawal risiko dalam kalangan pekerja dan pengurusan,“ katanya dalam ucapannya di Seminar Standard Antarabangsa NIOSHCert 2023 di sini hari ini.

Katanya berdasarkan data terkini daripada laporan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) 2022, sebanyak 64,168 kemalangan dilaporkan, dengan 35,015 adalah kemalangan di tempat kerja atau industri manakala 29,153 kes adalah kemalangan dalam perjalanan dan berulang-alik ke tempat kerja.

Sementara itu merujuk kepada acara hari ini, Sivakumar berkata Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) menganjurkan Seminar Piawaian Antarabangsa NIOSHCert 2023 yang pertama untuk memfokuskan kepentingan mengutamakan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja.

Beliau berkata seminar itu juga memfokuskan kepada penyepaduan sistem pengurusan yang sistematik ke dalam model perniagaan merentas pelbagai industri untuk memenuhi tujuan itu. -Bernama