GUA MUSANG: Cuaca kering sepanjang Ramadan tahun ini memberi ‘durian runtuh’ kepada pengusaha dobi, yang menyediakan perkhidmatan mencuci karpet kerana menerima permintaan tinggi pelanggan menjelang tibanya Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

Pengusaha dobi karpet Zamri Muhamad, 38, berkata meskipun Ramadan masih berbaki kira-kira dua minggu lagi, mereka telah menerima lebih 600 permintaan mencuci karpet setakat ini.

“(Kalau) permintaan terlalu tinggi kemungkinan kami terpaksa menutup tempahan lebih awal berbanding tahun lepas, bagi menjaga kualiti perkhidmatan.

“Ramadan tahun lepas kami mendapat kira-kira 300 tempahan untuk mencuci karpet. Alhamdulillah tahun ini rezeki tidak disangka-sangka, kerana permintaan mencuci karpet untuk persiapan raya telah mencecah lebih 600 bidang karpet, meskipun tempahan baru dibuka dua minggu lepas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Zamri berkata beliau mendapat bantuan isteri Nurul Anis Ayob, 35, dan seorang pekerja untuk membantu menggandakan jumlah cucian harian dan waktu perkhidmatan setiap hari bermula 9 pagi sehingga 4 petang.

Sementara itu, Nurul Anis berkata bahang cuaca panas amat membantu mempercepatkan proses pengeringan karpet yang dicuci.

“Dalam sehari kami dapat menyiapkan kerja-kerja pencucian dan pengeringan untuk sekurang-kurang 20 bidang karpet pelbagai saiz,” katanya sambil menambah upah yang diambil mencuci karpet sekitar RM20 hingga RM80 bergantung kepada saiz karpet.

Nurul Anis berkata tahun ini pelanggan sangat teruja untuk menyambut raya, sehinggakan ada dalam kalangan mereka menghantar lima hingga tujuh bidang karpet sekali gus, untuk mendapatkan khidmat cucian yang ditawarkan.

“Kesemua karpet yang diterima perlu siap dicuci sebelum cuti sekolah sempena raya nanti kerana pelanggan akan bertolak pulang beraya di kampung,” katanya. -Bernama