KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.59 bilion bagi projek-projek pembangunan fizikal di Terengganu tahun ini di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Terengganu berkata peruntukan tersebut melibatkan 99 projek baharu dan 296 projek sambungan.

“Ini projek daripada Kerajaan Pusat antaranya yang kita sedang laksanakan sama ada sambung atau baharu seperti Hospital Dungun, Hospital Kemaman, naik taraf jambatan merentasi Sungai Marang, pemuliharaan muara sungai di Dungun, Setiu dan Besut serta projek kawalan hakisan pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program penyerahan Rumah Kasih Ihsan-Kategori Baik Pulih di kediaman ibu tunggal Noriani Jaafar@Hitam di Kampung Dusun Tembakau di Manir dekat sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata sehingga Isnin lepas, prestasi perkembangan projek-projek pembangunan di Terengganu telah mencapai 24.96 peratus dan ia satu perkembangan baik serta diharapkan akan segera disiapkan demi kepentingan rakyat Terengganu.

Beliau berkata projek yang menjadi keutamaan negeri akan sentiasa dipantau dengan teliti oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu (PPNT).

Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata Kerajaan Pusat juga memperuntukkan RM50 juta bagi Program Pembasmian Kemiskinan di Terengganu pada tahun ini antaranya melibatkan bantuan baik pulih rumah-rumah daif.

Menurutnya sehingga 25 April lepas, 57 projek baik pulih rumah telah siap sepenuhnya di seluruh Terengganu iaitu 18 buah di Kuala Terengganu, Besut (14), Hulu Terengganu (tujuh), Setiu (enam), masing-masing lima di Kuala Nerus dan Marang (lima) serta Dungun (dua).

Katanya kos keseluruhan bagi 57 projek itu berjumlah RM1.425 juta manakala 119 projek berstatus dalam pelaksanaan bernilai RM2.975 juta.

Mohamed Khaled berkata di bawah peruntukan sama, pembinaan 20 buah rumah bina baharu akan dimulakan pada awal Mei ini dan 45 projek infrastruktur kecil seperti pembinaan jalan dan longkang kini sedang dalam pelaksanaan.

Terdahulu program penyerahan Rumah Kasih Ihsan-Kategori Baik Pulih di kediaman Noriani, 55, menyaksikan kerja-kerja baik pulih yang bermula sebelum Ramadan lepas telah disiapkan.

Mohamed Khaled berkata kerja-kerja menggantikan komponen rumah yang rosak seperti dinding reput, bumbung bocor, penggantian pintu kayu dan pemasangan semula pendawaian elektrik melibatkan peruntukan sebanyak RM25,000.