KUALA LUMPUR: Malaysia Airports merakamkan penghargaan kepada anggota Aviation Security (AVSEC) Koperal Mohammad Shafiq Safi’ai atas tindakan berani dan pantas beliau dalam insiden tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 April lepas.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, Malaysia Airports memaklumkan tindakan Mohammad Shafiq sangat membanggakan dan beliau telah melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab demi menjamin keselamatan pengunjung.

“Shafiq telah memberi amaran keras dengan mengacukan senjata miliknya terhadap suspek yang telah melepaskan dua das tembakan. Suspek kemudiannya terus melarikan diri dari tempat kejadian,” menurut catatan itu.

Turut dimuat naik dalam catatan itu gambar Mohammad Shafiq menerima sijil penghargaan dan wang sumbangan RM1,000 daripada Malaysia Airports.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 itu, seorang suspek lelaki telah melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi.