KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi Isnin ini, bagi pemilihan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.

Ahli Majlis Tertinggi PN yang juga Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata mesyuarat dijadual berlangsung di ibu negara pada 5 petang itu dan dijangka dihadiri semua wakil parti komponen dalam PN.

“Semua parti akan kemukakan cadangan masing-masing mengenai calon yang layak untuk bertanding bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu. Calon yang dipilih mestilah bermaustatin di Selangor,“ katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 27 April dan 7 Mei.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.