KUALA LUMPUR: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Polis Negara Tun Mohammed Hanif Omar yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar, bekas Ketua Polis Negara.

“Semoga roh Allahyarham Tun Mohammed Hanif dicucuri rahmat Allah SWT, ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh,” menurut hantaran dalam laman Facebook rasmi Kesultanan Pahang.

Mohammed Hanif, 85, yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 2.15 pagi tadi akibat sakit buah pinggang memegang jawatan Ketua Polis Negara keempat pada usia 35 tahun bermula 8 Jun 1974 sebelum bersara pada 15 Jan 1994.