LONDON: TikTok merancang untuk melancarkan pusat pilihan raya dalam talian di platform itu sebagai sebahagian daripada usaha menyokong integriti pilihan raya sepanjang 2024, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Halaman perkongsian video ini berkata lebih daripada dua bilion orang dalam lebih 50 negara dijangka keluar mengundi tahun ini dan pusat pilihan raya itu akan digunakan untuk menunjukkan kepada orang ramai maklumat yang boleh dipercayai.

Kebimbangan mengenai potensi impak media sosial kepada pilihan raya tahun ini dibangkitkan, dengan kecerdasan buatan (AI) mampu membawa gelombang baharu maklukmat salah dan maklumat palsu dalam bentuk media dan “deepfakes”yang telah dimanipulasi.

TikTok berkata ia akan melancarkan Pusat Pilihan Raya Tempatan di United Kingdom (UK) pada awal April, menjelang pilihan raya tempatan pada Mei yang telah dihasilkan dengan kerjasama firma menyemak fakta Logically Facts.

Pusat dalam talian itu akan menyediakan pengguna dengan maklumat mengundi yang disahkan termasuk bila, di mana dan bagaimana orang ramai boleh mengundi selain daripada pautan ke Suruhanjaya Pilihan Raya.

Di TikTok pula, pengundi akan diberikan pandu arah ke pusat mengundi menerusi bantu ingat mengenai hantaran pilihan raya yang berkaitan atau carian.

Syarikat itu berkata ia merancang untuk memperkenalkan pusat sama di negara lain di seluruh dunia, dan disesuaikan mengikut setiap pilihan raya.

Di UK, TikTok berkata ia juga akan menghasilkan pelbagai video pendidikan dengan Logically Facts, menggalakkan pengguna untuk memikirkan maklumat yang digunakan mereka dalam pemilihan.

Video-video ini akan diketengahkan di pusat pilihan raya.

Dalam sebuah blog yang membincangkan pendekatan syarikat itu dalam pemilihan 2024, TikTok berkata ia juga telah melakukan usaha tertentu untuk memerangi maklumat salah berkuasa AI dan ini akan berterusan sepanjang pilihan raya.

“Kandungan yang dijana AI (AIGC) membawa cabaran baharu kepada industri kami yang kami tangani secara proaktif dengan peraturan yang tegas dan teknologi baharu,”kata TikTok.

“Kami tidak membenarkan kandungan dimanipulasi yang boleh mengelirukan, termasuk AIGC tokoh masyarakat jika ia menggambarkan mereka mengendors satu pandangan poltik. Kami juga memerlukan pembuat kandungan untuk melabelkan sebarang AIGC yang realistik.

“Bersama-sama dengan 20 syarikat peneraju teknologi, kami baru-baru ini memberi jaminan untuk membantu mengelakkan kandungan AI yang mengelirukan daripada campur tangan dalam pilihan raya tahun ini menerusi kerjasama proaktif.

Dengan perkembangan teknologi dalam 2024, kami akan terus menambah baik dasar dan pengesanan kami sambil menjadi rakan kongsi dengan pakar dalam kandungan celik media yang membantu komuniti kami mengendalikan AI dengan bertanggungjawab termasuk bekerjasama dengan industri menerusi perkongsian asal-usul kandungan.-Bernama