JOHOR BAHRU: Sebanyak 1,483 perjawatan kosong membabitkan Pegawai Sepenuh Masa (PSM) pelbagai gred Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan diisi tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad (gambar) berkata pada masa ini pihaknya dalam proses mengambil pelatih, dengan fasa satu membabitkan 276 orang dan fasa dua 233 orang.

Beliau berkata kemasukan pertama pada minggu ini membabitkan 29 pelatih bagi gred 29.

“Pada masa ini, ada 14,750 perjawatan Pegawai Bomba sepenuh masa dan daripada jumlah itu, kekosongan adalah sebanyak 1,483 bersamaan 10.05 peratus di seluruh Malaysia.

“Baru-baru ini kita telah buat proses pengambilan 276 anggota daripada 298 perjawatan yang diberi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan tahun 2023 JBPM Johor di sini hari ini.

Nor Hisham berkata bagi Johor, kekosongan yang perlu diisi JBPM negeri adalah Gred KB 41 (satu kekosongan), Gred KB 29 (tiga) dan Gred KB 19 (130) manakala pihaknya akan mengutamakan negeri seperti Johor, Kuala Lumpur dan Selangor bagi meningkatkan peratusan itu memandangkan merekodkan insiden berkaitan yang signifikan.

Beliau berkata JBPM juga akan menerima agihan perolehan 150 jentera baharu “Compact Fire Rescue Tender” (CFRT) secara berperingkat hingga 2028, dengan Johor dijangka menerima 19 CFRT bagi meningkatkan keupayaan tindak balas kecemasan.

JBPM Johor, katanya antara diberi keutamaan penerimaan memandangkan keluaran panggilan kecemasan yang tinggi saban tahun dan keadaan jentera yang perlu penggantian segera.

“Bagi langkah pendek, kita telah salurkan peruntukan tambahan kejuruteraan kepada JBPM Johor untuk laksanakan pembaikan segera kepada jentera sedia ada.

“Bagi jangka panjang, kita salurkan dua unit CFRT kepada Johor menerusi fasa pertama. CFRT merupakan pendekatan baharu untuk capaian lebih laju dalam kawasan bandar dan kampung dengan jalan sempit,” katanya.

Beliau berkata JBPM juga telah meluluskan penyelenggaraan 30 jentera melibatkan kos keseluruhan RM18 juta dengan setiap jentera dianggar sebanyak RM600,000 manakala bagi penyelenggaraan itu, tujuh jentera FRT dari Johor telah dikenal pasti.