SANDAKAN: Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan di sini dijangka memeriksa 249 gerai dan lebih 500 pemilik premis mahupun pengendali makanan di Sandakan sepanjang bulan puasa ini melalui Op Bazar Ramadan yang bermula 12 Mac lepas.

Pegawainya Dr Mohamad Faiz Gahamat berkata setakat semalam, sebanyak 11 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan Akta Makanan 1983.

“Daripada 11 notis yang kita keluarkan ini, lima adalah berkaitan dengan pemilik premis sendiri, empat berkaitan pengendalian makanan manakala dua lagi berkaitan kebersihan makanan,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata 30 pegawai penguat kuasa kesihatan terlibat dalam pemantauan Op Bazar Ramadan itu dan setakat ini, tahap kesedaran kebersihan di setiap bazar adalah memuaskan.

“Meskipun tiada laporan mengenai keracunan makanan diterima namun kita tidak boleh leka dan pihak kami akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa, kami bukan setakat melaksanakan penguatkuasaan tetapi kami mahu menerapkan pendidikan kesihatan,“ katanya.

Dr Mohamad Faiz berkata pihaknya turut menjalin kerjasama dengan Majlis Perbandaran Sandakan untuk memberi latihan atau taklimat kepada pengendali makanan termasuk penjual di bazar Ramadan selain membantu pihak yang terlibat mendapatkan pemeriksaan kesihatan, lesen dan suntikan tifoid. -Bernama