KUALA TERENGGANU: Sebanyak 341 kes kebakaran terbuka melibatkan hutan, kebun, ladang, belukar, lalang dan sampah direkodkan di negeri ini dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu Hassan 'As'ari Omar (gambar) berkata sebahagian besar kes tersebut berpunca daripada kecuaian manusia yang melakukan aktiviti pembakaran terbuka tanpa pemantauan pada musim panas.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai lebih berwaspada dan mengelak sebarang aktiviti berisiko kebakaran termasuk membuang puntung rokok merata-rata di tepi jalan atau kawasan mudah terbakar.

“Pada 2023 sebanyak 976 kes melibatkan kebakaran terbuka dicatatkan di seluruh negeri. Jumlah ini meningkat sekitar 41 peratus berbanding 2022 iaitu 390 kes.

“Di pihak JBPM kita sentiasa menjalankan rondaan secara berkala dengan bantuan agensi lain di lokasi titik panas dan kawasan tumpuan orang ramai bagi tujuan pemantauan,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut Hassan 'As'ari pihaknya turut menerima 556 panggilan kebakaran bermula Jan hingga Mac tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata hanya 30 peratus daripada 806 anggota serta pegawai JBPM Terengganu dibenarkan bercuti pada musim perayaan ini, manakala selebihnya akan dikerah untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan kemalangan atau kerja menyelamat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Terengganu Rosli Zakaria berkata hasil pencerapan di 15 stesen automatik seluruh negeri semalam menunjukkan bacaan suhu berada kurang daripada 37 darjah Celcius.

Beliau berkata ia berikutan pembentukan lebih banyak awan dalam tempoh sehari dua kebelakangan yang menyebabkan suhu lebih rendah berbanding sebelum ini.

“Terengganu dijangka hujan pada sebelah pagi Aidilfitri, 10 April nanti tetapi sebelah petang dan malam cuaca cerah tiada hujan.

“Suhu maksimum untuk minggu ini juga diramal sekitar 35 darjah Celcius, lebih rendah berbanding minggu lepas,“ katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Rosli berkata orang ramai masih perlu mengelak aktiviti yang boleh menyumbang kepada pembakaran terbuka terutama di kawasan mudah terbakar termasuk tanah gambut.

Beliau juga menyarankan supaya orang ramai mengurangkan aktiviti yang terdedah terus dengan sinaran matahari terutama pada waktu tengah hari dan awal petang bagi mengelak risiko strok haba.

“Terengganu dijangka mengalami cuaca kering dan panas berterusan sehingga Mei depan. Malah, para saintis juga berpandangan cuaca panas yang berlaku ketika ini diburukkan lagi dengan perubahan iklim,“ katanya.