KUALA LUMPUR: Sebanyak 509 kes pembuangan bayi dilaporkan berlaku dalam tempoh 2018 hingga Februari lepas, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri (gambar).

Beliau berkata tiga negeri mencatatkan jumlah kes kumulatif tertinggi dalam tempoh berkenaan iaitu Selangor dengan 111 kes, diikuti Johor (64) dan Sabah (56).

Menurutnya daripada jumlah itu, 50 kes atau 9.82 peratus telah dituduh di Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

“Kesemua pertuduhan adalah bagi kes yang suspek atau pelakunya berjaya dikesan, manakala selebihnya suspek atau pelaku masih tidak dapat dikesan,“ katanya sebagai respons kepada ucapan Young Syefura Othman (PH-Bentong) berhubung kes pembuangan bayi pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.

Nancy berkata tindakan juga akan diambil terhadap pelaku mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu masing-masing bagi kesalahan bunuh dan cubaan bunuh sekiranya hasil siasatan memenuhi setiap elemen kesalahan diperuntukkan di bawah seksyen terbabit.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh 2022 hingga 2023, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyelamatkan 101 kanak-kanak yang diklasifikasikan sebagai kanak-kanak dibuang ibu atau bapa atau penjaga.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 15 kes disebabkan kecuaian ibu bapa atau penjaga, 11 kes kanak-kanak dibuang kerana anak tidak sah taraf, faktor masalah kewangan (empat kes) dan perbalahan keluarga (tiga kes).

Katanya, masing-masing dua kes disebabkan kanak-kanak kurang upaya dan kanak-kanak yang dipelihara orang lain semasa kecil, manakala 64 kes lagi tidak dapat dikumpulkan maklumat secara terperinci.

Nancy berkata 19 daripada 101 kanak-kanak malang itu ditempatkan dalam jagaan ibu bapa peliharaan atau orang yang layak dan sesuai (OYLS), manakala selebihnya masih dalam proses penempatan ke dalam jagaan ibu bapa atau OYLS. -Bernama