KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia mengekalkan pertumbuhan yang baik tahun ini dengan dipacu oleh kestabilan makroekonomi, keyakinan ekonomi daripada kalangan pelabur tempatan dan asing serta dasar kerajaan yang konsisten, kata pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed memetik laporan badan pemikir ekonomi Amerika Syarikat (AS) Milken Institute yang menekankan kepentingan menarik pelaburan langsung asing (FDI) selain keyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan.

“Perkara penting di sini adalah kestabilan makroekonomi yang memacu pertumbuhan ekonomi.

“Dasar yang konsisten dan kepentingan geografi menjadi kelebihan strategik bagi Malaysia berbanding negara lain di Asean,” katanya kepada Bernama.

Milken Institute baru-baru ini mengeluarkan laporan mengenai Indeks Peluang Global (GOI) 2024 dengan Malaysia disenaraikan sebagai negara yang mempunyai keadaan pelaburan terbaik secara keseluruhan dalam kalangan negara yang sedang pesat membangun dan membangun (E&D) Asia, apabila berada di kedudukan ke-27, mendahului Thailand (37) dan China (39).

Malaysia mencatatkan “prestasi yang bermakna” melebihi purata dalam kalangan negara yang sedang pesat membangun dan membangun dari segi perkhidmatan kewangan serta rangka kerja institusi, sebahagiannya didorong hak pelaburnya yang kukuh, menurut laporan itu.

Shan menjangkakan pelaburan kekal tinggi disokong oleh pelabur tempatan dan domestik yang berminat mengambil bahagian dalam pelbagai sektor ekonomi, dengan iklim pelaburan keseluruhan yang optimistik dan positif.

Beliau berpandangan bahawa sentimen pasaran terhadap teknologi, pembuatan, hartanah, komoditi serta teknologi litar bersepadu kekal kukuh dan bertambah baik.

“Tambahan pula, sektor dan institusi kewangan kekal agak stabil. Pujian seharusnya diberikan kepada Bank Negara Malaysia. Peraturan dan kawalan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia yang cukup ketat juga untuk melindungi kepentingan pelabur,” katanya.

Sementara itu menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pencapaian Malaysia secara langsung membuktikan usaha kerajaan, diteraju oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menerusi misi perdagangan dan pelaburan yang ekstensif untuk menempa perkongsian antarabangsa, usaha bersepadu Malaysia sedang membuahkan hasil dan membuka potensi pelaburan bernilai berbilion ringgit, jelas MIDA. -Bernama