KUANTAN: Seorang ahli fisioterapi di sebuah pusat perubatan swasta di sini kerugian lebih RM234,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud menerusi media sosial awal tahun ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman dalam kenyataan berkata pada 13 Jan lepas, wanita berusia 25 tahun itu telah melayari laman Facebook dan berminat untuk menyertai pelaburan yang didakwa menguntungkan menerusi aplikasi ‘Bybit’.

Beliau berkata mangsa kemudiannya telah melakukan 11 transaksi berjumlah RM234,000 ke dalam akaun bank yang diberikan suspek bermula 15 Jan hingga 2 Mac lepas.

“Mangsa yang menggunakan wang simpanan selain membuat pinjaman daripada kenalannya dan bank untuk melakukan pelaburan itu hanya menyedari dirinya terperdaya selepas tidak mendapat keuntungan yang dijanjikan,” katanya.

Beliau berkata mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud dan jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan. -Bernama