JAKARTA: Umat Islam di Indonesia hari ini bergembira meraikan Hari Raya Aidilfitri yang mempertemukan keluarga dan sahabat handai dalam semangat kemesraan, kemaafan dan kebersamaan.

Pesiden Joko Widodo dan wanita pertama Iriana dalam perutusan yang disiarkan melalui media sosial rasmi berpesan mengenai sikap saling bermaafan dan mengeratkan tali persaudaraan.

''Semoga di hari yang mulia ini kita dapat saling bermaafan dan bersilaturahim untuk membina kembali persaudaraan, menjadi bangsa yang rukun dan damai serta bersatu membangun Indonesia,'' katanya.

Memulakan sambutan dengan sembahyang sunat Aidilfitri di Masjid Istiqlal di sini, beliau kemudian kembali ke Istana Merdeka untuk bertemu segenap lapisan masyarakat pada acara rumah terbuka.

Tetamu termasuk tokoh tempatan dan diplomat asing hadir berkongsi kegembiraan dan menyampaikan ucapan selamat kepada Jokowi yang akan mengakhiri pentadbirannya pada 20 Okt.

Sementara itu, sambutan di Kedutaan Malaysia meriah apabila lebih 300 warga Malaysia yang bekerja dan tinggal di sini, termasuk pelajar, pegawai dan kakitangan kedutaan serta Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN berkumpul.

Duta Besar Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin menyertai sembahyang sunat Aidilfitri yang diimamkan Setiausaha Pertama (Hal Ehwal Agama) Mohd Shamsuri Ghazali.

Hidangan cita rasa Malaysia seperti nasi minyak, rendang, lemang, sate dan aneka kuih-muih disediakan sebagai pengubat rindu bagi mereka yang telah lama tidak pulang ke tanah air.

“Rakyat Indonesia yang mempunyai hubungan persaudaraan atau tali perkahwinan dengan rakyat Malaysia turut hadir. Kita harap mereka dapat merasakan suasana Aidilfitri seperti di Malaysia,” kata Syed Md Hasrin.

Beliau percaya sambutan ini akan menjadi momentum memperkuat hubungan sesama rakyat, dan berkata: “Semoga hubungan Malaysia dan Indonesia terus kuat, aman, makmur dan kekal di masa depan.”