JOHOR BAHRU: Pasukan Tindakan Pantas (QRT) imigresen akan bertugas selama 12 jam, bagi membantu penugasan pegawai imigresen dalam memastikan kelancaran operasi di kaunter pemeriksaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Aidilfitri ini.

Ketua Imigresen BSI Adam Abu Hanipah berkata terdapat seramai 12 pegawai QRT ditempatkan di BSI, yang berperanan sebagai pegawai gantian melibatkan kesemua kaunter laluan pemeriksaan kenderaan.

“Pegawai QRT ini akan diaktifkan untuk sokongan dan membantu pegawai di kaunter pemeriksaan, sekiranya pegawai bertugas sedia ada perlu melaksanakan sesuatu urusan.

“Semenjak QRT ditubuhkan pada Februari tahun lepas, ia telah menunjukkan keberkesanan dalam membantu kelancaran di kaunter pemeriksaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di CIQ BSI, di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini terdapat kira-kira 260 sehingga 280 pegawai imigresen bertugas di antara lapan sehingga sembilan jam mengikut syif pagi, petang dan malam, di kaunter-kaunter pemeriksaan BSI.

“Kita ada empat kumpulan yang ditugaskan mengikut tiga syif tersebut, dengan satu kumpulan mempunyai kira-kira 260 sehingga 280 pegawai bertugas dengan penugasan secara maksimum bagi setiap syif tersebut,” katanya.

Adam berkata dalam pada itu berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga dan memberikan komitmen untuk membuka kesemua kaunter yang beroperasi, bagi menghadapi kesesakan yang dijangka berlaku susulan perayaan itu.

Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan dan memberikan kerjasama serta pertimbangan yang sewajarnya, dalam membantu kelancaran proses di kaunter pemeriksaan BSI.

Pengarah JIM Johor Baharuddin Tahir sebelum ini dilapor sebagai berkata laluan kontra di CIQ BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri akan diaktifkan, sekiranya kesesakan berlaku di kedua-dua pintu masuk laluan darat Malaysia-Singapura Aidilfitri ini.

Beliau berkata pihaknya turut menjangkakan pertambahan kemasukan pelawat semasa musim perayaan Aidilfitri, susulan statistik pada Januari sehingga Mac lepas telah mencatatkan kemasukan kira-kira 41.4 juta pelawat di BSI dan KSAB.

Baharuddin berkata jumlah kemasukan pelawat di kedua-dua pintu masuk bagi tempoh sehari sebelum Aidilfitri sehingga hari raya kedua pada tahun lepas, mencatatkan kemasukan seramai 357,265 pelawat.