KUALA LUMPUR: Gaya pemakaian kain samping berubah mengikut zaman dengan trend terkini menyaksikan pemakaian samping ‘instant’ yang lebih mudah, kemas dan menjimatkan masa.

Menariknya, samping moden ini semakin menjadi pilihan kaum Adam sebagai pelengkap busana baju Melayu dan digayakan pada pagi lebaran.

Pereka samping ‘instant’ dari Wasy Apparel, Mohamad Alwasi Yaakub berkata ilham untuk menghasilkan samping ‘instant’ tercetus melalui pengalaman sendiri ketika mengenakan samping secara tradisional yang memerlukan kemahiran ikatan dan lipatan.

“Kelebihan samping ‘instant’ adalah dari segi kekemasan dan mudah digayakan kerana setiap samping ‘instant’ ini mempunyai saiz berbeza iaitu dari XXS sehingga XXXL, malah samping ‘instant’ ini juga boleh dilaraskan mengikut keselesaan pinggang si pemakai.

“Jika sebelum ini (samping tradisional) teknik lipatannya agak sukar bagi mereka yang tidak mahir melipat samping malah ia mudah terlondeh apabila dipakai, tetapi (dengan) samping ‘instant’ hanya mengambil masa dua minit,“ katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bekas pensyarah institut pengajian tinggi swasta itu turut menangkis persepsi bahawa penghasilan samping ‘instant’ ini akan menenggelamkan teknik dan cara ikatan samping tradisional, sekali gus menyebabkan ia semakin terpinggir.

“Saya rasa ini tidak menjadi masalah kerana kita tidak membuang budaya memakai samping, cuma kita mengubah cara pemakaian samping kepada lebih moden dan samping tetap sama,” katanya menambah setakat ini, tiada yang memberikan komen negatif malah yang ramai semakin suka memakai samping ‘instant’ ini.

Menjelas lanjut Mohamad Alwasi atau lebih mesra disapa sebagai Wasi berkata produk samping ‘instant’ pertamanya mendapat sambutan menggalakkan dengan kira-kira 500 samping berharga RM89 untuk kanak-kanak dan RM119 hingga RM200 bagi dewasa bergantung kepada corak tenunan songket dan saiz, laris terjual setakat ini.

“Bagi koleksi samping ‘instant’ saya menggunakan songket tenun dan motif corak...jadi ada beza (iaitu) terdapat berkonsepkan flora atau abstrak. Namun, ada juga yang menjual samping satu warna sahaja, berkonsepkan minimalis,” katanya.

Sementara itu, kakitangan swasta Muhammad Adam Salleh berkata samping ‘instant’ menjadi pilihannya kerana ia bukan sahaja mudah untuk dipakai malah menambah keyakinan diri.

“Kalau pakai samping tradisional itu, ambil masa jugak nak ikat tetapi dengan samping ‘instant’ ini senang sedikit...tidaklah risau samping terlondeh semasa berjalan ketika berhari raya nanti,” katanya. -Bernama