KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan petua dan nasihat perjalanan penting yang bermatlamat memastikan keselamatan pengguna jalan raya sempena musim perayaan Aidilfitri ini.

Perunding Pencegahan Kecederaan dan Keselamatan Jalan Raya di Pejabat Perwakilan WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Kulanthayan Mani berkata terdapat lima langkah keselamatan disaran oleh pertubuhan terbabit termasuk mengurangkan kelajuan, memakai tali pinggang keledar, menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak, memastikan tidur dan rehat mencukupi serta memilih menggunakan pengangkutan awam.

Beliau turut menekankan kesan ketara kelajuan terhadap keselamatan jalan raya yang boleh menyebabkan kecederaan dan kemalangan.

“Pengurangan kelajuan memberi manfaat berganda iaitu ia membantu mengelak daripada berlakunya kemalangan jalan raya kerana pada kelajuan yang lebih rendah, kita mempunyai kawalan dan penumpuan yang lebih baik terhadap kenderaan dan sistem jalan raya.

“Justeru, kelajuan yang lebih rendah boleh membantu mengelak kecederaan dan mengurangkan cedera teruk. Penurunan 1km kelajuan boleh membantu mengurangkan tiga peratus kecederaan akibat kemalangan dan 4 hingga 5 peratus kematian akibat kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berkenaan pemakaian tali pinggang keledar, Dr Kulanthayan menggariskan keberkesanannya dalam menyelamatkan pemandu dan penumpang serta mengurangkan risiko kematian hingga 50 peratus, menekankan kepentingan pemakaian tali pinggang keledar terhadap semua penumpang kereta dewasa, termasuk penumpang belakang bagi mengelak kecederaan.

Bagi keselamatan kanak-kanak, beliau menekankan keperluan menggunakan kerusi keselamatan terhadap kanak-kanak berketinggian kurang daripada 135 sentimeter dan berat 36 kilogram selain menekankan kepentingan tidur dan rehat yang mencukupi sebelum perjalanan yang memainkan peranan dalam mengekalkan waspada serta mencegah kemalangan yang berkaitan dengan keletihan.

Beliau turut menggesa orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam ketika musim perayaan sekali gus menyarankan pengendali pengangkutan awam supaya perlu sentiasa menjaga tahap keselamatan di jalan raya kerana mereka membawa penumpang yang ramai.

“Pengangkutan awam merupakan mod pengangkutan paling selamat terutama sistem berasaskan rel kerana perkhidmatan terbabit tidak berkongsi laluan yang sama dengan mod pengangkutan lain.

“Negara-negara global yang mempunyai sistem pengangkutan awam berasaskan rel yang baik merekodkan kemalangan jalan raya dan kematian yang lebih rendah,” katanya.