IPOH: Seekor anak gajah mati dilanggar kenderaan dalam kejadian di Kilometer 50 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata kejadian pada 8.30 malam itu berlaku ketika anak gajah berkenaan melintas secara tiba-tiba mengakibatkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X Trail tidak sempat mengelak dan melanggar anak gajah itu.

Kenderaan SUV yang dipandu lelaki berusia 35 tahun bersama dua penumpang itu dalam perjalanan dari arah Pasir Mas, Kelantan menghala ke Gerik.

“Pada masa sama sebuah lagi kenderaan Perodua Axia dipandu seorang lelaki berumur 39 tahun, isteri dan tiga orang anak mereka telah melanggar bahagian belakang SUV berkenaan sehingga menyebabkan kematian pada gajah tersebut.

“Walaubagaimanapun kesemua mangsa kedua-dua kenderaan yang terlibat dengan kemalangan hanya mengalami kecederaan ringan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata gajah itu telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan selanjutnya.

Zulkifli turut menasihati pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati semasa memandu ketika melalui JRTB kerana dikhuatiri terdapat hidupan liar yang melintas dan berada di atas jalan raya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Perak Yusoff Shariff berkata anak gajah yang mati itu dianggarkan berusia tujuh tahun dan merupakan gajah betina.

“Gajah kita sudah bawa ke Gerik untuk proses menanam bangkai gajah tersebut,“ katanya ketika dihubungi Bernama.

Terdahulu, tular di media sosial menerusi video berdurasi 1 minit 45 saat memaparkan anak gajah berkenaan mati terdampar di tepi laluan dan beberapa buah kenderaan rosak akibat kemalangan itu.