MAKKAH: Berjalan lebih 20,000 langkah sehari menjadi rutin anggota Unit Peronda Tabung Haji (TH) atau lebih dikenali sebagai ‘lipan bara’ dalam membantu jemaah haji Malaysia di sekitar Masjidil Haram di sini.

Pasukan itu berperanan membantu jemaah haji yang tersasar atau sesat mencari jalan di Masjidil Haram atau jalan pulang ke maktab penginapan, selain membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Anggota pasukan itu Ahmad Syukri Nu’aim Zolkipli, 28, berkata sejak memulakan tugas rondaan pada 26 Mei lepas, rekod jam tangan pintarnya menunjukkan dia berjalan lebih 20,000 langkah sehari dalam cuaca panas yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

“Kami perlu sentiasa bergerak di lokasi yang ditetapkan bagi memantau jemaah haji negara. Jika mereka sesat, kami akan tunjukkan jalan ke arah penginapan dan kalau mereka memerlukan teksi, kita akan dapatkan teksi untuk mereka,” katanya ketika ditemui di sini.

Ketua unit berkenaan bagi musim haji 1444 Hijrah, Wan Shamshol Husin berkata pasukan itu dianggotai 18 petugas yang terdiri daripada polis bantuan TH dari seluruh negara.

Beliau berkata pasukan yang sinonim dengan pakaian kemeja-T dan topi merah serta berseluar hitam itu bertugas 24 jam mengikut giliran tiga syif di lapan pos sekitar masjid suci umat Islam berkenaan.

Menurutnya anggota pasukan tersebut mempunyai kemahiran mengenal pasti jemaah haji yang hilang arah berdasarkan bahasa badan mereka. -Bernama