PUTRAJAYA: Kadar tambang bas ekpres kategori perkhidmatan ekonomi mengalami kenaikan 10 peratus sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri mulai 4 hingga 17 April ini, menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

APAD dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jemaah Menteri telah meluluskan surcaj musim perayaan sebanyak RM0.009 sekilometer (skm) dan pelaksanaan surcaj itu akan meningkatkan kadar tambang bas ekspres kategori berkenaan kepada RM0.102 skm berbanding kadar tambang biasa RM0.093 skm.

Menurut agensi itu permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) juga telah dibuka bagi perkhidmatan bas ekspres sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 10 dan 11 April ini.

Permohonan LPS itu terbuka kepada semua pengendali bas yang layak bermula 11 Mac hingga 2 April ini, manakala tempoh sah laku lesen bagi semua permohonan yang diluluskan adalah dari 4 hingga 17 April.

“Langkah berkenaan diambil bagi memastikan perkhidmatan bas ekspres mencukupi dan dapat menampung peningkatan penumpang yang pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan,” menurut kenyataan itu.

Memperincikan syarat permohonan, menurut APAD pengendali yang memohon LPS perlu mematuhi ketetapan syarat-syarat pengendali bas ekspres ditetapkan agensi itu seperti mematuhi polisi dan spesifikasi kelas lesen Bas Ekspres.

Selain itu, bas ekspres hendaklah dilengkapi sistem penentu posisi global (GPS) dengan had usia tidak melebihi 10 tahun, menurut kenyataan itu.

“Permohonan terhad kepada jenis perkhidmatan ekonomi sahaja. Bagi bas ekspres dan bas persiaran yang melebihi had usia penggunaan dan telah mendapat kelulusan Laporan Puspakom VR1 Khas (Kod 9009) dibenarkan untuk memohon,” menurut APAD.

Permohonan boleh dikemukakan di semua pejabat wilayah dan kaunter APAD di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

APAD turut menyeru pengendali agar sentiasa memberikan perkhidmatan berkualiti, menepati jadual tambang dan jadual perjalanan, menjamin keselamatan pengguna dan memastikan pemandu bas mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan.

“Ditegaskan bahawa sebarang perlanggaran syarat lesen yang telah ditetapkan boleh menyebabkan pengendali dikenakan tindakan berdasarkan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“APAD memohon kerjasama semua pihak dalam usaha memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam kepada rakyat,“ menurut kenyataan itu. -Bernama