LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis hari ini melupuskan 975,000 kotak rokok seludup pelbagai jenama serta 39 guni tembakau yang dianggarkan bernilai lebih RM15 juta.

Pengarahnya Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata kesemua rokok dan tembakau itu adalah hasil rampasan pada Januari 2022.

“Pelupusan ini mengambil masa kerana perlu mengikut prosedur. Rokok dan tembakau ini kalau ikutkan tidak lagi boleh digunakan tetapi ia perlu dilupuskan kerana bimbang akan dijual semula.

“Pelupusan dilakukan melalui kaedah selamat dengan pembakaran insinerator yang diuruskan oleh syarikat yang telah dipertanggungjawabkan. Rokok dan tembakau dibakar pada suhu maksimum antara 850 hingga 1,300 darjah Celsius,” katanya pada program pelupusan di sebuah loji insinerator di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Kedah dan Perlis Kapten Maritim Mohammad Nasir Man.

Pada 13 Jan 2022, APMM Kedah dan Perlis berjaya mematahkan cubaan sindiket antarabangsa menyeludup masuk rokok dan tembakau itu serta menahan tekong dan tujuh awak-awak bot warga Indonesia berusia antara 19 hingga 55 tahun menerusi Op Khas Aman.

Rokok dan tembakau terbabit ditemukan selepas pihak APMM menahan bot pertukaran barang di kedudukan 2.7 batu nautika di Barat Tanjung Belua, Langkawi pada 4 pagi.

Romli berkata pihaknya akan terus melaksanakan pemantauan melalui rondaan dan operasi secara berterusan membabitkan kemasukan rokok haram memandangkan kawasan perairan negeri ini yang terletak berhampiran dengan negara jiran.

“Rokok seludup atau rokok tidak bercukai ini mendapat permintaan tinggi berikutan harga yang sangat rendah daripada harga pasaran,” katanya. -Bernama