KOTA KINABALU: Kerajaan akan membuat keputusan berhubung mekanisme menstabilkan bekalan gula termasuk melibatkan harga bahan pemanis itu pada suku kedua tahun ini, menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata kerajaan sedang menilai mekanisme antaranya melibatkan cadangan simpanan stok gula, pemberian subsidi atau menaikkan harga kawalan daripada RM2.85 sekilogram pada masa ini.

Bagaimanapun katanya sebarang keputusan yang bakal dibuat akan mengambil kira kepentingan rakyat.

“Bukan mudah buat keputusan ini seperti jika mahu naikkan harga kawalan, akan memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat. Buat stok simpanan bagus kerana jika bekalan gula sampai lambat, kita masih ada stok tetapi ini melibatkan peruntukan yang tinggi.

“Manakala dua pengilang yang keluarkan stok gula 42,000 metrik tan sebulan dengan harga terkawal RM2.85, tetapi dengan harga gula dunia meningkat sehingga 100 peratus, syarikat ini menanggung kerugian sejak 2021 menyebabkan mereka mengurangkan pengeluaran,“ katanya.

Armizan berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau bekalan gula di Gudang Sazarice Sdn Bhd di Taman Perindustrian Kota Kinabalu di sini hari ini.

Beliau berkata dunia berdepan defisit bekalan gula kira-kira sejuta tan metrik tahun lepas dan tahun ini angka itu diunjurkan mencecah 5.4 juta tan metrik berikutan pelbagai faktor antaranya pengeluaran dipengaruhi cuaca dan geopolitik.

“Justeru mekanisme yang sedang dinilai kerajaan ini amat penting bagi memastikan rakyat sentiasa memperoleh bekalan gula dan pada harga berpatutan,” katanya.

Menurutnya Malaysia kini mengimport bekalan gula dari negara luar antaranya Brazil, India dan Filipina berikutan pengeluaran tebu di Chuping, Perlis telah ditamatkan pada 2012.

Katanya kerajaan juga telah memberi kelonggaran import bermula Jun tahun lepas dengan mengeluarkan permit import gula kepada 43 syarikat dengan syarat 30 peratus daripada gula yang diimport itu perlu dijual pada harga kawalan RM2.85 sekilogram bagi menambah bekalan gula di negara ini.

“Tetapi sehingga hari ini tiada satu pun syarikat yang dapat mengimport gula untuk dijual dengan harga kawalan RM2.85 itu. Hanya ada lima peratus daripada kuota diberikan itu dapat diimport tetapi ini dijual untuk harga industri,“ katanya.