SUBANG JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap lebih banyak lagi sektor industri akan terlibat dalam melaksanakan Program Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) di seluruh negara.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) berkata PJIR adalah pendekatan strategik antara kerajaan dan industri untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, namun pelaksanaannya tidak harus terhad kepada sektor peruncitan semata-semata.

Beliau berkata PJIR berbeza daripada Program Jualan Rahmah kerana ia tidak melibatkan sebarang peruntukan subsidi daripada kerajaan, sebaliknya menggunakan sumbangan daripada pihak industri sendiri untuk mengerakkan inisiatif.

“PJIR ini menyasarkan kepada lonjakan kebersamaan dan sumbangan daripada sektor industri dalam membantu kerajaan mengerakkan Agenda Payung Rahmah.

“Sejak dilaksanakan 23 Jan hingga 24 April tahun ini, 40 pemain industri dalam sektor peruncitan telah melaksanakan PJIR di 2,770 lokasi di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kasih Sayang Ibu dan Si Manja 2024 di bawah inisiatif PJIR di Mydin USJ, hari ini.

Armizan berkata untuk kempen bermula hari ini hingga 30 Mei itu misalnya, Mydin bersama rakan-rakan strategik menawarkan subsidi berbentuk penjimatan diskaun, rebat dan hadiah percuma sehingga RM800,000, ke atas pembelian barangan keperluan bayi dan kanak-kanak.

Antara barangan itu ialah susu tepung, lampin pakai buang dan set pakaian bayi, melibatkan pelbagai jenama seperti Abbott, Fernleaf, Carrie Junior, Diapex dan Pureen.

“Kita berterima kasih kepada Mydin dan rakan-rakan strategiknya kerana bersama-sama kerajaan dalam pendekatan intervensi dan mitigasi untuk menangani kos sara hidup rakyat.

“Jadi kita mengalakkan lebih banyak pihak lagi, bukan hanya dalam sektor peruncitan tetapi juga dalam sektor-sektor yang lain untuk tampil melaksanakan PJIR ini,” katanya.