ALOR SETAR: Asrama dan bilik guru Maahad Abdullah Al Arifin dekat Jitra musnah dalam kebakaran yang berlaku hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.44 petang, sebelum tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.

“Sejumlah anggota dari BBP Jitra yang turut dibantu BBP Bukit Kayu Hitam dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Padang Sera, telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati kebakaran melibatkan bangunan Kelas A yang hampir 70 peratus terbakar, namun tiada mangsa yang terlibat berikutan ketika kejadian semua penghuni berada di surau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata tindakan pemadaman menggunakan kaedah satu aliran dua pancutan telah digunakan dan kebakaran dapat dikawal pada pukul 3.05 petang.