VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah melantik Kurt Leitner sebagai pengarah urusannya yang terbaru.

Leitner, seorang rakyat Austria, menyertai seorang lagi pengarah urusan VPCM, Erik Winter, dan menggantikan Florian Steiner yang telah ditukarkan ke Eropah untuk menggalas tanggungjawab baru setelah empat tahun bertugas di Malaysia.

Leitner akan bertindak sebagai pengarah urusan di Malaysia dan Singapura.

Beliau menyertai kumpulan Porsche Holding Salzburg sejak tahun 1988, dan telah menjawat pelbagai jawatan pengurusan di dalam kumpulan tersebut.

Antaranya ialah sebagai pengarah urusan di Porsche Romania selama empat tahun, pengurus besar di Porsche Chile dan PGA Ellada, dan ketua pegawai eksekutif Porsche Finance Group Romania.


“Saya sangat teruja untuk berada di rantau ini, hidup di Malaysia dan Singapura serta bekerja dengan penduduk yang berbudaya dan berlatarbelakang berbeza,” katanya.

“Ianya akan menjadi satu perjalanan dan pengalaman belajar yang baru buat saya. Saya harap akan dapat memanfaatkan segalanya sepanjang saya berada di sini.”

Leitner akan menguruskan aspek sumber manusia, teknologi maklumat dan kewangan, sementara Winter akan terus memantau aspek jualan, selepas jualan, rangkaian pengedar dan operasi pemasaran VPCM.

Winter yang mengalu-alukan kehadiran Leitner, berkata: “Leitner merupakan lantikan terbaik kepada pasukan pengurusan kerana beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bidang kewangan dan peruncitan automotif. Industri automotif di Malaysia berkembang pantas dan saya percaya beliau akan dapat menyesuaikan diri.”

Dengan barisan produk akan datang yang menarik dan peningkatan selepas jualan agresif di bawah janji jenama “Volkswagen Cares”, kedua-dua orang pengarah urusan VPCM itu yakin bahawa jenama Volkswagen akan terus berkembang, biarpun di sebalik landskap automotif Malaysia yang sangat kompetitif.

$!Kurt Leitner (kanan) dan Erik Winter, dua pengarah urusan VPCM.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image