PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said (gambar) menyarankan agar Jabatan Bantuan Guaman tidak hanya menumpukan perkhidmatannya terhadap kes jenayah sebaliknya perlu turut memainkan peranan dalam kes lain.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) di sini hari ini.

“Kita kena membuat perubahan dasar pada elemen berkaitan bantuan perundangan sivil dan bantuan perundangan jenayah... setakat ini, bantuan perundangan jenayah peranannya dimainkan oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan,” katanya.

JBG diwujud bagi memberikan khidmat bantuan guaman kepada mereka yang layak berpandukan Akta Bantuan Guaman 1971 dan melaluinya, rakyat kurang berkemampuan berpeluang mendapatkan perkhidmatan pada kadar lebih rendah daripada pihak kerajaan sebagai alternatif kepada yang ditawarkan oleh peguam swasta.

Bidang kuasa JBG meliputi perkara seperti nasihat dan bantuan guaman dalam perihal prosiding (litigasi) jenayah serta sivil, kekeluargaan sivil dan kekeluargaan syariah.

Azalina juga berkata Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen yang dijangka dibentang dalam masa terdekat bakal memberikan takrifan baharu kepada elemen pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.

“Maknanya Parlimen itu akan bersifat dalam struktur lebih bebas walaupun pelaksanaannya mengambil masa tetapi pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Akta (Perkhidmatan Parlimen) ini adalah langkah pertama.

“Harapan saya, akta itu akan menjadi kenyataan tahun ini,” katanya.

Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 diperkenal bagi membuka jalan kepada Dewan Rakyat bertindak sebagai badan bebas, menjalankan hal ehwalnya sendiri, memilih petugas dan mengawal perbelanjaannya namun ia telah dimansuhkan pada 1992.