KUALA LUMPUR: Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 membawa makna besar kepada banduan terlibat dan mencipta peluang kedua kepada mereka untuk berubah.

Bersyukur kerana berpeluang menatap wajah anak lelakinya yang baru berusia dua bulan lebih awal daripada dijangkakan, banduan dari Penjara Kluang, JOHOR, yang hanya mahu dikenali sebagai Amir, 30, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penjara Johor dan kerajaan Malaysia.

Dia yang dihukum penjara selama 25 bulan dan tiga sebatan atas kesalahan berkaitan dadah turut melahirkan rasa gembira kerana dapat kembali beraya bersama keluarga.

“Ini merupakan kesalahan pertama saya dan terjebak dengan kegiatan haram itu kerana pengaruh kawan-kawan. Tadi tengok wajah emak yang bergenang air mata dan menatap wajah anak sulung saya, buat saya benar-benar insaf,” katanya yang berasal dari Batu Pahat.

Di PERAK, banduan yang mahu dikenali sebagai Long, 27, bersyukur kerana masih sempat menjalani ibadah puasa bersama keluarga selepas dibebaskan dari Pusat Koreksional Kamunting, di bawah program PBSL hari ini, lebih awal daripada tarikh sepatutnya dibebaskan 13 Julai ini.

Anak sulung daripada dua beradik yang menjalani hukuman atas kesalahan berkaitan dadah itu, berkata dia ingin meminta ampun daripada ahli keluarganya yang semestinya sedih dengan kesalahan dilakukan dan berikrar tidak mengulangi kesilapan tersebut.

Dalam pada itu, Karim, 45, yang merupakan banduan dari Penjara Reman PULAU PINANG berkata dia memang menunggu peluang keemasan untuk menyambut Syawal bersama keluarga tersayang selepas mahkamah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara ke atasnya kerana kesalahan dadah.

Bekas pemandu kereta yang juga bapa kepada enam anak berusia tujuh hingga 18 tahun itu berjanji hukuman pertama kali itu akan menjadi yang terakhir untuknya dan berada di sebalik tirai besi banyak mengajarnya erti keinsafan.

Di KEDAH, banduan wanita di Penjara Pokok Sena yang mahu dikenali sebagai Anis, 26, berkata sambutan Aidilfitri kali ini tidak akan sama seperti sebelum ini selepas ayahnya pergi menghadap Ilahi akibat serangan strok ketika dia sedang menjalani hukuman penjara.

Bagaimanapun, anak bongsu daripada sembilan beradik itu yang mula terjebak dengan dadah jenis heroin seawal usia 13 tahun, tetap bersyukur kerana terpilih dalam program itu sekali gus membolehkan dia menyambut Aidilfitri bersama ibunya yang berusia 62 tahun.

“Kali ini saya nekad untuk berubah sepenuhnya...mungkin selepas ini saya akan tolong ahli keluarga dan guna peluang kedua yang diberikan oleh pihak penjara ini untuk menjaga ibu saya yang kurang sihat,” katanya.

Seorang lagi banduan yang mahu dikenali sebagai Det, 42, berkata ini merupakan kali pertama dia menyambut Aidilfitri di luar penjara sejak 2005 selepas beberapa kali ditahan, namun sedih kerana tidak dapat menyambut bersama insan tersayang setelah disisihkan keluarga.

Menurutnya akibat beberapa kali ditahan atas kesalahan mengambil dan mengedar dadah jenis morfin sebelum ini, isterinya telah meminta cerai dan tidak dapat melihat anak-anak membesar di depan mata kerana disisihkan.

“Kali ini saya nekad untuk berubah supaya saya ada keberanian untuk berdepan dengan anak-anak dan keluarga yang lain. Aidilfitri ini memang saya tidak ada kekuatan untuk pulang beraya bersama keluarga, tetapi kalau ada rezeki saya ingin beraya dengan mereka pada Aidiladha akan datang,” katanya.