IPOH: Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan merogol dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap anak perempuannya untuk mencabul kehormatannya.

Hakim Norita Mohd Ardani, menetapkan 17 April ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap bapa enam anak berusia 38 tahun itu.

Lelaki itu didakwa merogol anaknya yang berusia 19 tahun itu, di sebuah rumah di Batu Gajah antara pukul 10 hingga 12 malam pada Februari, mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas anak perempuannya itu, dengan niat mencabul kehormatannya di lokasi sama pada 8.30 pagi, 20 Mac.

Pendakwaan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

Jika sabit kesalahan, mahkamah juga hendaklah memerintahkan tertuduh tertakluk kepada pengawasan polis bagi tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih tiga tahun bermula sejurus selepas tamat tempoh hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qurratu'aini Khalifah manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -Bernama