GERIK: Bapa kepada seorang daripada mangsa yang maut dalam nahas di Kilometer 51.3, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini semalam, tidak menyangka sikap anak sulungnya yang tiba-tiba menjadi pendiam dan cuba menjarakkan diri merupakan petanda akan pergi buat selama-lamanya.

Mat Zainal Nordin (gambar), 66, bapa kepada Noor Asmah Mat Zainal, 38, yang maut dalam kemalangan tersebut, mulanya menganggap perubahan sikap itu kerana keletihan dan pada masa sama menantunya, Kamizan Kasimon, 42, yang turut maut dalam nahas itu, berkali-kali memohon maaf daripadanya pada pagi hari kejadian.

“Noor Asmah seorang yang periang dan ramah, kebiasaannya dia memang akan sentiasa bercakap tetapi ketika nak balik ke Terengganu pada hari kejadian dia terus masuk ke dalam kereta seperti nak jauhkan diri.

“Begitu juga suaminya, Kamizan memeluk saya dengan erat dan genggaman tangan ketika bersalaman lain daripada biasa. Saya pelik kerana dia berulang-kali dan bersungguh-sungguh meminta maaf, apabila berlaku kejadian ini barulah saya faham,“ katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik di sini hari ini.

Mat Zainal berkata dia mengetahui kejadian menimpa anak dan menantunya itu sekitar 3 petang daripada anak lelakinya yang dihubungi seorang rakan Kamizan yang sama-sama bertugas dalam tentera.

“Rakan Kamizan menyedari kemalangan itu setelah ia dimuat naik di Facebook. Semalam saya masih boleh menahan sebak tetapi hari ini saya tak dapat lagi nak tahan air mata.

“Kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi walaupun amat berat untuk diterima khususnya isteri saya yang rapat dengan Noor Asmah,“ katanya.

Sementara itu, sepupu Noor Asmah, Mohamad Rizal Jamaluddin, 42, berkata sebelum berangkat pulang ke Terengganu, sepupunya itu sempat membantu menyiapkan gubahan hantaran untuk kenduri kahwin adik keempat Noor Asmah selepas raya nanti, selain kelihatan bersemangat untuk menyambut Syawal.

“Mereka maklumkan akan berhari raya di Terengganu dahulu dan pulang ke Padang Rengas untuk kenduri kahwin yang dijadualkan pada raya kelima,” kata Mohamad Rizal yang terkejut ketika dimaklumkan pasangan suami isteri itu maut dalam kemalangan.

Adik bongsu kepada Kamizan, Nur Amal Kasimon, 34, pula berkata dia sedikit terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaan abangnya untuk menziarahi mereka di rumah yang baharu dibina abangnya.

“Abang ambil keputusan buat rumah di Padang Rengas selepas bersara dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dia sering mengajak kami adik-beradik untuk singgah di rumahnya.

“Tak sangka itu 'jemputan' terakhir daripada arwah dan kali terakhir berjumpa pun awal tahun lepas ketika menghadiri pengebumian mak saudara kami,” katanya.

Semalam, media melaporkan pesara tentera, Kamizan dan isterinya, Noor Asmah maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan dan membabitkan 10 mangsa.

Dalam kejadian sekitar jam 12.20 tengah hari itu, anak lelaki mangsa berusia 10 tahun dan anak perempuan berusia tiga tahun terselamat dan mengalami kecederaan di bahagian badan, manakala enam sekeluarga lagi mendapatkan rawatan di Hospital Gerik.