SHAH ALAM: Hujan lebat yang melanda negeri ini petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di Subang dan Sungai Buloh dinaiki air.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya telah menggerakkan anggota berserta beberapa aset ke lokasi terlibat iaitu di Jalan Jati, Kampung Melayu Subang dan Kampung Kubu Gajah bagi memantau situasi.

Beliau berkata pemantauan di lokasi kejadian mendapati kawasan terbabit dinaiki air antara 0.3 meter (m) hingga 0.6 m dan keadaan adalah terkawal.

‘’Banjir berlaku akibat limpahan sungai berhampiran dan ketika ini paras air menunjukkan trend menurun.

“Keadaan adalah terkawal dan tiada pemindahan mangsa dilakukan bagi kedua-dua lokasi,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Mukhlis berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir itu masing-masing pada 4.47 petang dan 5.44 petang.

Awal hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat melanda seluruh Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka sehingga 6 petang.