TAWAU: Bekas isteri kepada pemandu e-hailing Nurman Bakaratu yang ditemukan mati dibunuh di ladang kelapa sawit di sini tahun lepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan membunuh lelaki tersebut.

Nurima Juli, 34, bersama adik tirinya Sadam Kiram, 30, didakwa mencapai niat sama bersama membunuh mangsa berusia 61 tahun dan sekadar mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan itu sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Batu 5 Jalan Apas dekat sini antara jam 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Jan, 2023/

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali, jika tidak dikenakan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fakhrurazi Ahmad Salim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 6 Jun ini sebagai sebutan semula kes.

Sebelum ini, bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCom) SAC Datuk Mat Zaki Md Zain antara lapan tertuduh yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi atas kematian Nurman, namun semua mereka dilepas dan dibebaskan pada 25 Jan lepas selepas pihak pendakwaan memaklumkan tidak mahu meneruskan kes.

Ini selepas Nurima selaku saksi utama pendakwaan pada prosiding 25 Jan lepas, mengaku membunuh bekas suami dengan menggunakan sebilah gunting dalam kereta Myvi putih dinaiki mereka ketika berhenti di sebuah ladang kelapa sawit pada 13 Jan 2023.

Sementara itu, Sadam juga pernah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 24 Ogos 2023 kerana didakwa melupuskan barang bukti berkaitan kes bunuh Nurman, namun pertuduhan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan itu digugurkan hari ini atas permohonan pendakwaan selepas pertuduhan membunuh dikenakan.