KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus perhubungan pelanggan sebuah bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 80 pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta, pemalsuan dokumen dan menipu berhubung jongkong emas milik pelanggan bernilai lebih RM6 juta, empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Saibulrijal Mohd Saad, 46, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut 46 pertuduhan pemalsuan dokumen, dia didakwa menggunakan dua dokumen sebagai tulen iaitu Gold Safe Keeping Service Withdrawal Form dan Letter Of Indemnity di sebuah bank cawangan Bangsar di sini antara jam 9 pagi hingga 4 petang, antara 15 Okt 2019 dan 13 Jan 2021 lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi 26 pertuduhan menipu, tertuduh didakwa menipu beberapa pegawai bank dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai beberapa pelanggan hendak mengeluarkan dan membeli 117 jongkong emas.

Dia didkawa menggunakan borang Gold Safe Keeping Service Withdrawal Form yang dikatakan ditandatangani pelanggan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank sama antara jam2 petang hingga 4.30 petang pada 14 Julai 2020 hingga 27 Ogos 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mohd Saibulrijal turut berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan harta iaitu 33 jongkong emas seberat antara 0.05 gram hingga satu kilogram milik empat wanita pelanggan bank itu di bank sama antara 12 hingga 24 Ogos 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan pecah amanah, tertuduh didakwa menyalahgunakan iaitu dua jongkong emas dengan setiap satu seberat 0.5 kilogram kepunyaan seorang wanita bergelar Datin berusia 75 tahun di bank sama pada 1 petang, 12 April 2021.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika disabitkan bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal menawarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserahkan ke mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Mohd Saibulrijal yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia mempunyaI satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen berbeza dan akan dikenakan tindakan undang-undang oleh bank berkenaan.

“Pasport saya setakat ini sudah ditahan dan tidak boleh ke mana-mana, mohon jaminan dikurangkan dan mahkamah memberi ruang kepada saya untuk berbincang dengan keluarga untuk melantik peguam,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM465,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport perlu diserahkan ke mahkamah dan menetapkan 26 April ini untuk sebutan kes.

Pada 27 Sept 2021, Mohd Saibulrijal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM411,442.17 milik seorang warga emas untuk membeli tujuh jongkong emas tanpa pengetahuan lelaki itu. -Bernama