SHAH ALAM: Bekas pembantu am di Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memperdayakan seorang pengerusi rumah kebajikan bagi mendapatkan barangan lelongan serta wang sumbangan, dua tahun lepas.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap M.Murugan, 43, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan pilihan pada prosiding hari ini yang ditetapkan untuk sebutan kes.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut kedua-dua pertuduhan pilihan itu, lelaki itu didakwa memperdayakan G. Gnanam, 57, dengan mendorong wanita itu untuk menyerahkan wang RM2,300 dan RM200 kepada tertuduh bagi membantu mendapatkan barangan lelongan MPS dan meminta wang sumbangan untuk majlis hari raya anjuran MPS.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Taman Selayang Segar, Gombak dan Jalan Raya Laut, Kuala Lumpur pada 4 dan 10 April 2022 mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Mohd Aliff Shaharuzaman memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukannya.

Bagaimanapun peguam K.Komagan yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum kerana anak guamnya menghidap penyakit kencing manis yang kronik sehingga perlu mendapatkan rawatan susulan tiga hari sekali di Hospital Selayang.

“Anak guam saya kini bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan RM1,500 sebulan selain tiada rekod kesalahan lampau dan masih bujang,“ katanya.