MELAKA: Seorang bekas tentera berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini terhadap 15 pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul seorang prebet tentera lelaki dan dua pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas mangsa sama.

Mohd Amanah Habhijullah, 36, didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap lelaki berusia 20 tahun itu di sebuah bilik di Kem Terendak di Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah antara 25 Ogos hingga 14 Okt 2023.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Tertuduh juga didakwa atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa di lokasi sama pada 15 dan 16 Okt tahun lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan mencabul dan masing-masing RM7,000 bagi kesalahan mencederakan dengan jumlah keseluruhan RM134,000.

Peguam S. Daniel yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan jumlah itu terlalu tinggi dan anak guamnya juga mempunyai tanggungan dan menjaga ibu bapa yang sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman kemudiannya menetapkan jaminan keseluruhan berjumlah RM11,000 dengan dua penjamin rakyat Malaysia yang menetap di Melaka serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak mendekati atau menghubungi mangsa dalam apa juga medium.

Mahkamah menetapkan 30 April ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. -Bernama