KUALA LUMPUR: Meskipun sering tampil dengan imej menarik terutama di hadapan khalayak namun model pakaian yang ingin dikenali sebagai Nurul, 26, masih kurang berkeyakinan dengan penampilan dirinya sehingga kadangkala terpaksa menukar pakaian beberapa kali sebelum keluar rumah disebabkan perasaan itu.

Pelbagai cara telah dilakukan termasuk mendapatkan nasihat perunding imej namun tidak berkesan sehinggalah rakan baiknya mencadangkan agar beliau mengamalkan mandi bunga sebagai ikhtiar untuk meningkatkan semula keyakinan diri.

Meskipun pada awalnya beliau agak skeptikal dengan cadangan yang dianggap mustahil namun selepas mencuba dan merasakan sendiri perubahan yang berlaku pada dirinya sehingga beliau tampil lebih semangat serta berkeyakinan membuatkan anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu percaya amalan mandi bunga memiliki kebaikan tersendiri.

“Saya percaya setiap bunga ada manfaatnya, khasiat-khasiat bunga itu apabila sudah direndam dengan air akan ada manfaatnya kepada diri dan badan kita.

“Mandi bunga bukan sesuatu yang baharu, zaman nenek moyang kita lagi sudah ada... dan biasanya saya akan melakukannya dua kali setahun,” katanya kepada Bernama.

Pakar Botani dari Univeriti Putra Malaysia Profesor Dr Rusea Go berkata secara saintifik, bau harum serta warna yang dikeluarkan oleh bunga itu menjadikan ia terapi dalam mandian tersebut.

“Bau harum dan warna pada bunga tersebut secara tidak langsung memberi kesan positif kepada kesihatan jiwa dan emosi melalui rangsangan saraf pada hidung yang mampu meningkatkan mood serta sensori.

“Pembebasan bahan kimia endorfin pula membuatkan kita berasa gembira melalui bau yang dikeluarkan. Kemudian dari situlah datang perasaan tenang, mengurangkan stres dan meningkatkan aura positif,” katanya.

Walaupun begitu, Rusea berkata kesan mandian bunga tidak dapat dirasakan secara optimun sekiranya menggunakan kaedah yang salah kerana penggunaan air suam sangat penting untuk merembeskan minyak pati dan haruman semula jadi.

Senada dengan Rusea, Master Urut Sendi dan Saraf Nurimah Nuredin berkata jenis bunga-bungaan yang digunakan menjadi faktor utama keberkesanan dalam setiap amalan mandi bunga.

“Seeloknya gunakan bunga yang masih segar dan berbau harum seperti bunga kenanga, bunga raya dan daun pandan. Kalau bunga dah tidak ada bau dan layu, orang mandi akan begitu juga kejadiannya kerana kita mandi sebab mahukan tenaga daripada bunga itu.

“Selain itu, perlu juga dicampurkan dengan limau nipis bagi menarik unsur-unsur negatif dalam badan selain turut mengekalkan kelembapan pada kulit kerana mengandungi vitamin D dan C,” katanya.

Mengulas lanjut jenis bunga yang digunakan, Nurimah berkata jika boleh elakkan bunga dengan batang berduri seperti bunga mawar dan rendaman air mandi bunga itu juga sebaiknya dicampur dengan garam yang turut berfungsi menarik aura negatif.

Pakar Psikologi Profesor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali pula berpendapat sistem kepercayaan yang dipegang oleh seseorang itu terhadap manfaat mandi bunga menyebabkan ia mampu merawat masalah kesihatan yang dihadapinya.

“Ini dapat dijelaskan dengan kesan plasebo iaitu jika individu itu percaya bahawa sesuatu rawatan atau ubat mampu mengubati penyakit berkenaan maka sakit itu boleh pulih.

“Jadi kesan plasebo ini akan menguji kekuatan sistem kepercayaan kita. Kalau kita percaya, sakit kita boleh hilang. Kalau ragu-ragu, sakit itu sentiasa ada mandi banyak kalipun tidak ada kesan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata disebabkan itu, pemikiran orang yang melakukan amalan mandi bunga memainkan peranan besar selain impak sokongan sosial. -Bernama