KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan bertekad akan terus memperkasakan ekonomi selari dengan usaha menjayakan visi dan misi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas 100 hari bertugas di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), beliau berkata fokus utamanya bersama Menteri Datuk Ewon Benedick dan seluruh kepimpinan tertinggi KUSKOP adalah untuk terus menggemilangkan lagi ekonomi rakyat dan negara.

“Saya melihat pelantikan ini sebagai satu pengiktirafan dan amanah rakyat dan negara yang harus dipikul sebaik mungkin. Ia satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan penuh istiqamah, ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.

“(Tempoh) 100 hari telah memberikan pelbagai pengalaman dan pengajaran untuk menimba ilmu di KUSKOP dan terus mara ke depan bersama semua agensi di bawah kementerian ini. Saya melihat tanggungjawab ini sebagai satu platform yang terbaik untuk mengembangkan sektor keusahawanan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya kepada Bernama hari ini.

Ramanan berkata dalam memajukan agenda ini, beliau akan menyusun inisiatif dan program yang relavan dengan keperluan PMKS.

Hal ini bagi memastikan setiap langkah yang diambil akan memberi manfaat yang nyata kepada komuniti keusahawanan, termasuk menyediakan peluang-peluang pelaburan, akses kepada latihan dan pembangunan, serta sokongan dalam pengurusan perniagaan,” katanya.

Menjelaskan lagi sepanjang 100 hari di KUSKOP, Ramanan berkata beberapa jalinan diplomatik telah disusun membabitkan wakil negara Asia termasuk India, Singapura dan China.

“KUSKOP juga sedang membuat perancangan untuk lawatan Perdana Menteri ke India tahun ini,” katanya.