KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan 16 warga Malaysia di Wilayah Preah Sihanouk, Kemboja yang telah diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di negara itu dengan tawaran gaji lumayan.

Kesemua mangsa berumur lingkungan 19 hingga 43 tahun itu terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita diselamatkan dengan kerjasama PDRM, Interpol, Polis ASEAN, Kementerian Luar serta Polis Kemboja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata kesemua mangsa diselamatkan pada kira-kira 12 tengah hari 5 April lepas.

Beliau berkata mereka diperdaya melalui iklan di laman Facebook malah kos perbelanjaan perjalanan pekerjaan mereka turut ditanggung oleh pihak syarikat di Kemboja.

“Setelah mangsa tiba di Kemboja, dokumen perjalanan mangsa dirampas, pergerakan dikawal dan dikurung dengan kawalan yang ketat,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Abd Jalil berkata setelah tiba di negara itu, mangsa baru menyedari dan merasakan mereka diperdaya.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati mangsa dipaksa bekerja sebagai ‘scammer.’

“Kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dan kini di Phnom Penh, Kemboja sementara menunggu penerbangan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat,” katanya.

Sehubungan itu, Abd Jalil berkata PDRM menasihati masyarakat agar lebih berhati-hati terhadap tawaran kerja dengan gaji yang lumayan di luar negara bagi mengelakkan orang ramai dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab demi keuntungan dan kepentingan mereka.

“PDRM amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat yang mempunyai maklumat tentang sindiket memperdayakan warganegara Malaysia dan memaksa mangsa menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang di luar negara.

“Sekiranya ada maklumat berkaitan kes ini, orang ramai diminta menyalurkannya di mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image