MELAKA: Seramai 23 lelaki termasuk 19 pelajar sekolah menengah ditahan kerana merusuh dalam kejadian di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini pada 29 Mac lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata kesemua individu berkenaan ditahan secara berperingkat di sekitar kawasan Tanjung Kling, Malim dan Tanjung Minyak bermula 2 petang hingga 9 malam pada Rabu lepas.

Beliau berkata kesemua pelajar terlibat dari sekolah menengah yang berbeza di sekitar Tanjung Kling dan dalam kejadian itu seorang pelajar berusia 15 tahun lebam seluruh badan serta muka akibat dipukul.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan melibatkan dua kumpulan disebabkan rasa tidak puas hati serta selisih faham melibatkan insiden lama yang berpunca daripada perbuatan ejek-mengejek yang akhirnya mencetuskan pergaduhan.

“Polis turut merampas tiga topi keledar dan sebatang kayu dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan kesemua suspek telah dirakam percakapan dan tidak direman,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semalam, tular di media sosial video berdurasi 4.09 minit memaparkan insiden pergaduhan itu dan nenek kepada mangsa berusia berusia 15 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Kling pada 31 Mac lepas.

Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.