KUALA BESUT: Sebanyak 25 buah rumah kongsi yang didiami 81 buruh binaan musnah dalam kebakaran di Pulau Perhentian Kecil pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu Muhammad Basri Kamarazaman berkata enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan pada 9.09 pagi.

Beliau berkata pihak bomba menaiki sebuah bot dari Kuala Besut ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari darat.

“Sebaik tiba kita mendapati 25 daripada 33 buah rumah kongsi telah dijilat api yang marak berikutan rumah-rumah tersebut terletak berdekatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal dan memadam kebakaran yang turut melibatkan kawasan hutan berhampiran dengan kerja memadam berjalan lancar kerana terdapat pili bomba di kawasan tersebut.

Kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan, katanya.

Sementara itu Muhammad Basri berkata kebakaran di tapak pelupusan sampah di Kampung Sungai Ikan, dekat Tepoh di Kuala Nerus hampir padam sepenuhnya apabila kira-kira 70 peratus kawasan dapat dikawal dalam operasi yang memasuki hari keenam.

Beliau berkata bomba berjaya memadam kebakaran di kawasan seluas empat daripada enam hektar yang terbakar sejak Jumaat lalu.

Menurutnya operasi memadam kebakaran hari ini bermula 9 pagi dengan kekuatan empat jentera dan sembilan anggota dari BBP Kuala Nerus dan Marang.

“Usaha mengawal kebakaran berdepan kesukaran berikutan sumber air yang agak jauh dari lokasi, timbunan sampah tebal dan cuaca kering,” katanya.