PUTRAJAYA: Sebanyak 2,579 kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-13 (ME13) bagi tempoh 24 hingga 30 Mac berbanding 3,041 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata sebanyak tiga kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan pada tempoh berkenaan.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME13 adalah sebanyak 44,144 kes berbanding 28,587 kes bagi tempoh sama 2023.

“Manakala terdapat 31 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 18 kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam kenyataaan hari ini.

Beliau berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME13 adalah sebanyak 135 dengan 114 lokaliti dilaporkan di Selangor, masing-masing 10 lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pulau Pinang (lima), Negeri Sembilan (empat) dan Kedah (dua).

Sementara itu katanya bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada ME13 dan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 13 kes dengan tiada wabak berkenaan dilaporkan.

Bagi survelan zika pula, beliau berkata sebanyak 621 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan dan hasil kesemuanya adalah negatif.