272 lembu, kerbau untuk ibadah korban di Labuan

LABUAN: Sekurang-kurangnya 272 ekor lembu dan kerbau dijangka dikorbankan di Labuan sempena perayaan Aidiladha ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Labuan Dr Marysia James Abie berkata jumlah itu merangkumi 103 ekor lembu dari Sabah serta 157 ekor lembu dan 12 ekor kerbau dari Ladang Sittha di Kg Bukit Kuda, Labuan.

Dr Marysia berkata lembu dari Sabah itu dibawa oleh 43 pemohon yang telah mendapat permit daripada jabatan berkenaan untuk membawa masuk lembu ke Labuan sejak bulan lepas.

“Kami telah memeriksa status kesihatan lembu itu seminggu sebelum penyembelihan, yang mengikut standard kesihatan haiwan...dan ternakan itu selamat untuk disembelih,“ katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya pegawai veterinar telah ditugaskan ke semua lokasi penyembelihan yang dibenarkan seperti di masjid dan kampung selain rumah penyembelihan yang ditetapkan di Kg Patau-Patau, untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan ketat semasa proses penyembelihan.

Beliau turut menasihati jawatankuasa masjid dan kampung supaya mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dalam usaha mengubah keadaan menjadi lebih baik ketika berhadapan pandemik Covid-19. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image