JOHOR BAHRU: Sebanyak 30 individu termasuk 11 penjawat awam ditahan selepas didapati positif terhadap pelbagai dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Batu Pahat awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata kesemua 24 lelaki tempatan dan enam wanita warga asing berusia antara 17 hingga 52 tahun itu ditahan ketika sedang berhibur sekitar 1 pagi.

“Mereka didapati positif terhadap pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, ketamin dan benzodiazepine,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau berkata turut ditahan, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang merupakan penjaga premis terbabit dan didapati menjalankan perniagaan melebihi had masa serta positif dadah.

Menurut Kumar mereka akan disiasat mengikut Seksyen 39 (b), Seksyen 55B dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 11 (2) Enakmen Hiburan Negeri Johor 4/98 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Kumar berkata pihaknya menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah dan merampas pelbagai dadah bernilai RM2.39 juta di Taman Pelangi, di sini pada 24 April lepas.

Beliau berkata lelaki itu diberkas di tepi jalan di kawasan perumahan terbabit sebelum soal siasat terhadapnya menemukan pelbagai dadah di sebuah rumah teres di perumahan berkenaan termasuk 13.6 kilogram serbuk ekstasi, 707 pil ekstasi serta 2,465 pil erimin 5.

Hasil siasatan pihaknya menemukan pelbagai jenis dadah di sebuah rumah teres di Taman Pelangi termasuk 13.6 kilogram serbuk ekstasi, 707 pil ekstasi dan 2,465 pil erimin five.

“Modus operandi sindiket pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan sebuah bilik yang disewakan di rumah terbabit sebagai stor simpanan sebelum diedarkan ke pusat hiburan dan individu.

“Dipercayai sindiket telah aktif sejak Februari tahun ini dan membungkus semula dadah-dadah berkenaan antaranya dengan menggunakan peket minuman segera,” katanya.

Menurut Kumar polis turut menyita dua kereta dan wang tunai RM650 manakala lelaki yang didapati positif terhadap methamphetamine dan amphetamine serta memiliki rekod jenayah lampau kini direman hingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.