GUA MUSANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan akan menempatkan seramai 60 anggota bagi menghadapi kes kecemasan seperti kemalangan dan bencana sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Pengarahnya Kol (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata tugasan yang sering dilakukan pihaknya sebelum ini adalah memastikan kelancaran operasi menyelamat mangsa selain membantu pasukan keselamatan lain mengawal situasi.

“Kita akan melaksanakan operasi ini sama seperti tahun-tahun sebelumnya, jadi anggota kita akan berada dalam mod sedia untuk sebarang tugasan melibatkan kes kecemasan sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

“Anggota akan bertugas secara bergilir-gilir di bilik gerakan jajahan masing-masing dan perlu bersedia untuk pergi ke lapangan sekiranya khidmat mereka diperlukan,“ katanya kepada pemberita pada Majlis Santunan Ramadan di Masjid Ibrahim Hentian Gua Musang, di sini semalam.

Beliau berkata pihaknya juga bekerjasama dengan agensi lain supaya tiada ‘lompong’ dalam melaksanakan sesuatu tugasan, sekali gus memberikan impak yang baik dan memastikan sebarang operasi berjalan lancar.