KULAI: Sebanyak 70 peratus pembangunan hartanah di Forest City, Iskandar Puteri terjual dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini dan dijangka terus meningkat dalam tiga atau empat tahun lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata impak jualan hartanah itu akan membantu merancakkan lagi sektor ekonomi di kawasan berkenaan.

“Kita lihat banyak hartanah yang tidak terjual sejak empat tahun lepas dan kini telah terjual dalam masa dua tahun ini.

“Contohnya di Forest City yang orang katakan ‘ghost town’, sebenarnya ramai orang tidak tahu bahawa 70 peratus pembangunan hartanah di sana telah terjual, begitu juga di Country Garden dan kawasan sekitar Johor Bahru,“ katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Hutan Bandar Kulai, di sini hari ini.

Beliau berkata ia menunjukkan antara impak positif hasil usaha berterusan kerajaan negeri yang sentiasa komited dalam mengatasi masalah hartanah tidak terjual.

Sementara itu, Mohd Jafni berkata inisiaitif kerajaan negeri dalam meningkatkan kecekapan proses kerja dan tadbir urus bagi mengurangkan birokrasi dalam sistem penyampaian kerajaan, mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan di negeri itu.

Beliau berkata ia boleh dilihat menerusi kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menjangkakan Johor akan menjadi negeri termaju di Malaysia, susulan pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi.

“Saya sangat setuju dengan kenyataan Perdana Menteri kerana Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sendiri banyak engagement dengan pelabur-pelabur seperti dari Singapura dan China. Ini semua sedang dilaksanakan,“ katanya.

Pada Khamis lepas, Anwar dilapor berkata projek berimpak tinggi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) mampu memacu ekonomi Johor mengatasi negeri-negeri lain dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.