PUTRAJAYA: Seramai 88,564 pelawat ke negara ini telah dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) pada tahun lepas kerana tidak memenuhi syarat kemasukan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini, Saifuddin berkata antara faktor penolakan kemasukan individu berkenaan adalah kerana status mereka yang diragui sebagai pelawat tulen.

“Rekod Jabatan Imigresen Malaysia mendapati individu tersebut kerap kali keluar masuk negara dalam tempoh singkat tanpa memohon pas yang sepatutnya dan perbuatan ini dikenali sebagai ‘u-turn’,” katanya.

Daripada jumlah tersebut, 35.08 peratus atau 31,069 pelawat dikenakan NTL di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur 2 (klia2).

Menurutnya, sebanyak 87,698,460 ketibaan pelawat dicatatkan pada tahun lepas.

“Penting bagi Imigresen memastikan setiap pelawat yang dibenarkan masuk adalah tulen dan tidak menyalahgunakan pas yang diberikan... terdapat banyak kes pelawat yang masuk menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) tetapi tidak pulang sehingga selepas tamat tempoh dan disalah guna,” katanya.

Menurutnya, pelawat dikesan menyalahgunakan pas itu semasa operasi penguatkuasaan yang dijalankan yang mereka didapati melakukan pekerjaan seperti pegawai khidmat pelanggan (GRO) serta pelacur.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata beliau tidak akan mencampuri siasatan polis terhadap dua pembantu Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang dipanggil polis berkaitan hantaran di media sosial berhubung kes gangguan ceramah parti MUDA di Johor pada Oktober tahun lepas.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata beliau telah dimaklumkan berhubung perkara itu serta mengambil maklum kedua-dua individu berkenaan telah hadir ke balai polis untuk memberi keterangan semalam.

“Saya serah kepada pihak polis untuk menggunakan budi bicara dan undang-undang bagi menyiasat perkara tersebut. Saya tidak masuk campur,” katanya.

Semalam media melaporkan Noor Suhana Ishak, pembantu kepada Ahli Parlimen DAP Bentong, Young Syefura Othman dipanggil untuk disiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul manakala Setiausaha Akhbar Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Farhan Iqbal dipanggil memberi keterangan di IPD Putrajaya.

Rabu lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kasim menyatakan kes tersebut disiasat oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, Johor di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. - Bernama