KUALA LUMPUR: Permohonan pihak pendakwaan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan dihadapinya, dibuat berdasarkan alasan dikemukakan dan diterima oleh mahkamah.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang membuat keputusan tersebut, menyatakan alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kukuh (cogent).

“Merujuk kepada laporan media bahawa tindakan Peguam Negara untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid sebagai tidak bermoral, jabatan ini ingin menegaskan permohonan untuk melepas tanpa membebaskan dibuat kepada mahkamah, berdasarkan kepada alasan-alasan yang dikemuka dan telah pun diterima oleh mahkamah.

“Semasa membuat keputusan, YA (Yang Arif) Hakim menyatakan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kukuh (cogent),” menurut kenyataan itu.

Isnin, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, untuk menghentikan prosiding kes berkenaan. - Bernama