PUTRAJAYA: Kerajaan sedang memantau agensi-agensi penguatkuasaan negara dengan rapi bagi mengelakkan mereka daripada terpalit dengan isu kecurangan, dalam usaha membanteras gejala rasuah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berharap menerusi pemantauan itu ia dapat mengelakkan laporan berhubung aktiviti kecurangan seperti rasuah atau kegiatan ‘menyakau’ dalam kalangan penjawat awam yang menjalankan amanah menjaga keselamatan negara.

“Ini peringatan (kepada) penguatkuasaan kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan Imigresen (Jabatan Imigresen).

“Kita sedang pantau dari dekat dan saya harap sangatlah supaya kita dapatlah elakkan laporan-laporan kecurangan ini kerana majoriti itu memang ada hasrat buat kebaikan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan warga Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Beliau berkata laporan-laporan kecurangan itu bukan melibatkan semua, tetapi hanya segelintir petugas penguatkuasaan, dan ada yang terpaksa menerima dalam keadaan terpaksa kerana wujudnya budaya sedemikian.

“Kadang-kadang dia hidup dalam budaya yang begitu rupa, jadi budaya sakau itu semua, dia sebut - ‘terpaksa’ lah..

“Pernah orang sebut pada saya - kamu Menteri Kewangan lama, takkan tak ada kumpul duit banyak. Pasti kamu ini kurang cerdik atau memang tidak tahu apa-apa langsung. Sebab bagi dia, kalau dah jadi Menteri Kewangan, Perdana Menteri, mestilah kumpul banyak (harta/wang),” katanya.

Anwar seterusnya menekankan isu kecurangan atau rasuah yang dilaporkan berlaku dalam Jabatan Kastam, tidak seharusnya memberi imej yang buruk kepada penjawat awam, kerana menurutnya ia hanya membabitkan sebilangan kecil individu dalam jabatan berkenaan.

“Saya ucap tahniah kepada Ketua Pengarah Kastam (Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin) kerana tidak melihat dari segi negatif, terus ambil tindakan - tukar dan ambil tindakan disiplin. Beliau tidak lindungi sesiapa. Jadi jangan biarkan sekelumit ini mencacatkan imej perkhidmatan awam, kalau ada tindakan seperti dilakukan oleh Ketua Pengarah Kastam, saya ucap tahniah,“ katanya.

Ketua Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebelum dilaporkan berkata 34 anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup membabitkan ketirisan hasil cukai RM2 bilion ditahan menerusi Ops Samba 2.0.

Operasi khas yang bermula 11 hingga 25 Mac lepas itu diketuai Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama pihak LHDN dan Bank Negara Malaysia (BNM), dengan bantuan SPRM Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur.