KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abd Rahman Ayob, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan pegawai-pegawai kanan ATM.

Sultan Ibrahim kemudian berkenan menandatangani buku lawatan di Lobi VIP Wisma Pertahanan.

Baginda turut berkenan bergambar bersama pengurusan tertinggi kementerian sebelum diberikan taklimat di Bilik Mesyuarat Bunga Raya.

Sebelum berangkat pulang pada 11.25 pagi Sultan Ibrahim berkenan bertemu warga ATM dan MINDEF.